Berita

Kerajaan MADANI komited basmi kemiskinan, Kelantan tidak terkecuali

Pembasmian kemiskinan dilaksanakan secara saksama dan Kelantan sama sekali tidak tercicir dalam perancangan rapi di bawah Kerajaan MADANI.

Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) dalam satu kenyataan berkata, komitmen berterusan itu telah dizahirkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memastikan agenda pembasmian kemiskinan kekal sebagai keutamaan.

Kata kenyataan itu, kerajaan menyediakan peruntukan berjumlah RM20 juta yang diumumkan Perdana Menteri sempena Majlis Ramah Mesra dan Lawatan Masjid Gong Chapa Temila, Pasir Puteh.

“Pendekatan menyeluruh Kerajaan MADANI mencerminkan keprihatinan terhadap kesejahteraan rakyat khususnya di Kelantan,” kata kenyataan itu menerusi laman media sosial rasminya.

Kenyataan itu berkata, ICU JPM komited mempergiat pelaksanaan di lapangan secara tersusun dan berfokus bagi memastikan setiap inisiatif memberi impak menyeluruh.

Menerusi pelaksanaan itu katanya, diharap tiada rakyat di Kelantan yang terpinggir daripada arus pembangunan negara.

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut merasmikan terminal baharu Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) sebagai satu lagi pencapaian penting dalam memperkukuh infrastruktur pengangkutan udara negara khususnya di Pantai Timur.

Terminal baharu ini bukan sahaja meningkatkan mutu perkhidmatan, malah berperanan sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi setempat merangkumi sektor pelancongan, perdagangan dan pelaburan.

Kerajaan menyediakan kos naik taraf LTSIP sekitar RM440 juta dengan dilengkapi kemudahan moden dan projek itu diselaras oleh ICU JPM. -MalaysiaMADANI