Pembangunan luar bandar kini dipacu dengan pendekatan lebih pantas dan berkesan apabila Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah memperhebat pelaksanaan infrastruktur asas di Sarawak, khususnya bekalan air bersih bagi menjamin kesejahteraan rakyat.
KKDW dalam kenyataan memaklumkan, perkara tersebut dibuat ketika keputusan Jemaah Menteri pada 17 Mac lalu yang bersetuju menyerahkan projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) di Sarawak kepada Kerajaan Negeri untuk dilaksanakan.
“Langkah ini mempercepat pelaksanaan projek melalui pemerkasaan peranan kerajaan negeri, sekali gus memastikan manfaat sampai kepada masyarakat luar bandar dengan lebih cepat dan berimpak tinggi.
“Sebanyak 80 projek baharu dan sambungan di bawah Program BALB Sarawak telah diluluskan untuk dilaksanakan oleh KKDW, membabitkan kos keseluruhan RM3.47 bilion.
Daripada jumlah itu, sebanyak RM141.87 juta diperuntukkan di bawah Rolling Plan Pertama (RP1), Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) bagi tahun 2026,”katanya.
Terdahulu, satu mesyuarat penyelarasan dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah diadakan bagi memastikan penyelarasan tindakan antara KKDW, agensi pusat dan Kerajaan Sarawak berjalan lancar.
Mesyuarat itu bertujuan memastikan proses penyerahan projek BALB dapat dilaksanakan secara teratur dan berkesan.
Katanya inisiatif tersebut membuktikan komitmen berterusan kementerian dalam menerajui pembangunan luar bandar, seterusnya meningkatkan kualiti hidup komuniti di Sarawak melalui penyediaan infrastruktur asas yang lebih kukuh,” kata kenyataan itu. – MalaysiaMADANI
