Berita

Elak ketirisan bahan api bersubsidi, kawalan ketat di ‘lokasi panas’ sempadan negara

Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenal pasti stesen minyak, ‘lokasi panas’ serta kawasan berisiko tinggi berlakunya ketirisan bahan api bersubsidi khususnya di lokasi berhampiran sempadan negara.

PDRM menerusi Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) telah melaksanakan penugasan elemen Pasukan Gerakan Am (PGA) bersama elemen kontinjen di lokasi terlibat.

Pemangku Pengarah JKDNKA, Datuk Fisol Salleh berkata, pihaknya telah menggerakkan elemen PGA bersama kontinjen ke stesen-stesen minyak terbabit, khususnya di kawasan berhampiran sempadan negara bermula 15 April.

“Penugasan berkenaan bermula jam 6 pagi, melibatkan enam negeri sempadan iaitu Perlis, Kedah, Kelantan, Perak, Sabah dan Sarawak.

“Pelaksanaan dibuat secara syif dengan kehadiran pegawai dan anggota PGA serta elemen pengoperasian kontinjen bagi memastikan kawalan berterusan berkesan di lokasi terlibat,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, pihaknya mengenal pasti sebanyak 36 stesen minyak sebagai ‘hotspot’ dan 55 lagi lokasi berisiko susulan peningkatan aktiviti ketirisan bahan api yang dipercayai dipengaruhi faktor semasa termasuk krisis tenaga global.

Kata beliau, tumpuan penugasan diberikan kepada stesen minyak yang beroperasi antara jam 6.30 pagi hingga 11.30 malam, waktu puncak urus niaga yang dikenal pasti berisiko tinggi berlakunya aktiviti penyelewengan.

Jelas beliau lagi, stesen yang beroperasi 24 jam, pemantauan dan penugasan dilaksanakan secara berterusan sepanjang masa.

Menurut beliau, langkah itu merupakan sebahagian usaha bersepadu polis dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam memperkukuh kawalan serta penguatkuasaan di kawasan sempadan.

Tegas beliau, usaha itu bagi memastikan penyaluran bahan api bersubsidi kepada golongan yang layak serta mengelakkan ketirisan yang boleh menjejaskan kepentingan negara.

Dalam pada itu, beliau berkata, polis akan terus mempertingkat keberkesanan operasi melalui pemantauan berterusan, pengukuhan risikan serta kerjasama strategik bersama agensi berkaitan bagi membanteras sebarang bentuk penyelewengan dan penyeludupan bahan api bersubsidi. -MalaysiaMADANI