Berita

Tidak gentar ancaman, AKPS tekad lindungi sempadan negara sebaiknya

Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) sama sekali tidak akan berundur atau berkompromi dengan mana-mana pihak memberi ancaman terhadap keselamatan negara dan setiap anggota bertugas.

Perkara itu ditegaskan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail susulan kejadian tembakan terhadap kenderaan yang dipandu Komander AKPS di Bukit Kayu Hitam, Kedah.

Ekoran kejadian mengejutkan itu, beliau sendiri telah mengadakan lawatan kerja ke Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam.

Jelas beliau, kehadirannya ke ICQS tersebut bukan sekadar untuk meninjau situasi semasa dan mendapatkan taklimat terperinci tetapi lebih daripada itu.

“Saya mahu bertemu sendiri warga AKPS, melihat dengan mata saya sendiri keadaan di lapangan, selain memastikan semangat mereka tidak luntur walau berdepan insiden yang mengejutkan,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.

Beliau berkata, semua pihak memahami bahawa peristiwa seumpama itu pastinya akan memberi kesan dan ia bukan perkara kecil. 

Namun begitu tegas beliau, AKPS tidak akan sesekali berundur atau berkompromi dengan mana-mana ancaman terhadap keselamatan negara dan pegawai bertugas.

Tambah beliau lagi, Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain diminta supaya memastikan kawalan keselamatan terhadap pegawai-pegawai yang disyaki menjadi sasaran dipertingkatkan segera.

Di pihak kementerian, kata beliau, pihaknya akan terus memberi sokongan penuh bukan sahaja dari sudut moral, tetapi juga dari segi logistik, peralatan dan apa jua keperluan yang diperlukan bagi memastikan anggota dapat menjalankan tugas dengan selamat dan berkesan.

“Keselamatan pintu masuk negara adalah amanah besar. Kita akan pastikan mereka yang memikul amanah ini tidak dibiarkan berdepan risiko sendirian,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI