Uncategorized

Peraturan baharu digubal kuat kuasa spesifikasi gred beras putih

Peraturan baharu di bawah Akta Kawalan Padi dan Beras (Akta 522) akan digubal  bagi menguatkuasakan spesifikasi penggredan beras putih, kata Datuk Seri Mohamad Sabu.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan berkata, menerusi peraturan baharu, spesifikasi gred dan harga beras akan ditetapkan bagi memastikan mutu dan harga beras sentiasa dalam kawalan dan melindungi kepentingan semua pihak.

“Matlamat utama penetapan harga kawalan bagi gred beras terpilih adalah untuk menjamin kestabilan bekalan beras di pasaran dan melindungi pengguna terutamanya golongan berpendapatan rendah.

“Setiap produk beras yang dijual akan memastikan pengguna mendapat maklumat yang betul mengenai produk dibeli. Pelanggaran mana-mana peruntukan di bawah peraturan baharu itu adalah satu kesalahan di bawah Akta 522,” katanya seperti dipetik BH.

Mengulas lanjut Mohamad berkata, penggubalan peraturan baharu ini akan memperkasa peranan institusi MARDI dan agensi penyelidikan lain dalam menyediakan bukti saintifik yang kukuh bagi membantu pihak berkuasa dan dalam proses pendakwaan bagi kes berkaitan beras di mahkamah nanti.

“Peraturan baharu yang melibatkan pindaan kepada Akta 522 itu akan dibentang pada sidang Parlimen akan datang, selepas diadakan sesi libat urus termasuk dirujuk ke Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen,” katanya.

Mohamad menambah keputusan menyusun semula satu gred dan harga beras ini dibuat berasaskan prinsip utama keterjaminan makanan negara iaitu memastikan bekalan mencukupi, harga stabil dan semua pihak dalam rantaian padi dan beras, daripada pesawah hingga pengguna terus dilindungi. – MalaysiaMADANI