Berita

Besar jasa Tun Abdul Hamid kepada negara

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluangkan masa daripada tugasan padat dengan menziarah jenazah bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad, sebaik menerima berita pemergian Allahyarham pada tengah hari Khamis.

Beliau tiba di Musolla Taman Selatan Presint 20, Putrajaya sekitar jam 4.50 petang dan disambut oleh ahli keluarga terdekat, sebelum menyertai solat asar serta solat sunat jenazah.

Dianggarkan hampir 200 ahli keluarga dan kenalan hadir bagi memberi penghormatan terakhir pada Allahyarham.

Antara orang kenamaan hadir memberi penghormatan adalah Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh dan bekas Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Allahyarham Abdul Hamid, 84, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) di samping isteri, Toh Puan Hamidah Choong Abdullah dan anak-anak pada Khamis.

Mengulas berhubung jasa Allahyarham, Perdana Menteri berkata, bekas Ketua Hakim Negara itu merupakan seorang tokoh kehakiman yang telah menabur khidmat amat besar kepada negara, khususnya dalam mempertahankan kedaulatan undang-undang serta memelihara kewibawaan dan integriti institusi. 

“Saya turut menzahirkan ucapan takziah khusus kepada anakanda Allahyarham, Murni Abdul Hamid yang pernah berkhidmat bersama saya di Pejabat Perdana Menteri serta seluruh keluarga besar,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.

Perdana Menteri turut berdoa agar seluruh ahli keluarga Allahyarham terus dikurniakan ketabahan, kekuatan dan kesabaran dalam menghadapi saat yang amat sukar.

“Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat, diampunkan segala dosa serta ditempatkan dalam kalangan para solihin,” kata beliau. -MalaysiaMADANI