Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan terus komited memastikan segala kemudahan di sekolah sentiasa berada dalam keadaan selesa, selamat serta kondusif.
KPM dalam kenyataannya berkata, perkara itu penting terutama mengelak berlakunya kejadian yang tidak diingini, seterusnya mewujudkan situasi sejahtera kepada murid serta warga pendidik.
“Antara projek inisiatif yang telah dilaksanakan adalah penyelenggaraan kecil tandas institusi pendidikan KPM pada 2023 hingga 2024.
“Selain itu, proses penyelenggaraan dan ubah suai naik taraf makmal dilaksanakan pada 2024 dan menyediakan inisiatif khas penyelenggaraan kantin dan musolla pada 2025,” kata KPM menerusi laman media sosial rasminya.
Menurut KPM, usaha berterusan yang dilaksanakan itu mencerminkan keprihatinan pihak kementerian dalam menyokong persekitaran pembelajaran berkualiti dan lestari.
Sementara itu, KPM berkata, menerusi Rang Undang Undang (RUU) Pendidikan (Pindaan) 2025, kerajaan kini mewajibkan pendidikan peringkat menengah sehingga Tingkatan 5.
Menurut KPM, pelaksanaan pindaan RUU itu merupakan komitmen perundangan bagi menjamin hak setiap anak Malaysia terhadap akses pendidikan yang lebih tinggi.
Katanya, langkah progresif itu diambil bagi memastikan tiada lagi keciciran murid selepas tamat pendidikan rendah (Darjah 6).
“Kerajaan komited untuk memastikan setiap anak Malaysia dilengkapi dengan kelayakan sekurang-kurangnya di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) demi menjamin masa depan yang lebih mampan dan berdaya saing,” ujarnya. -MalaysiaMADANI
