Kerajaan bersetuju memberikan diskaun tol sebanyak 50 peratus daripada kadar biasa selama dua hari, iaitu pada 23 dan 24 Disember 2025 sempena sambutan Hari Krismas yang akan dirai pada 25 Disember ini, kata Menteri Kerja Raya.
Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pemberian diskaun itu selaras dengan semangat perpaduan Malaysia Madani selain bertujuan meringankan beban kos perjalanan rakyat, khususnya pengguna kenderaan persendirian yang merancang pulang ke kampung halaman atau bercuti bersama keluarga.
“Diskaun tol itu akan diberikan kepada kenderaan kelas 1 (kelas 2 di Jambatan Pulau Pinang) di semua plaza tol kecuali plaza tol di pintu masuk sempadan negara iaitu Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan Plaza Tol Tanjung Kupang, Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA).
“Pemilihan tarikh 23 dan 24 Disember merupakan sebahagian daripada inisiatif penyuraian trafik musim perayaan dan cuti sekolah, terutama pada waktu puncak perjalanan balik ke kampung dan kembali ke bandar, selain mengoptimumkan pengoperasian kawasan hentian sebelah dan kawasan Rehat dan Rawat (RSA),” katanya.
Nanta Linggi pada masa sama menjelaskan kerajaan turut menanggung implikasi kewangan yang dianggarkan sebanyak RM20.65 juta bagi membayar pampasan kepada semua syarikat konsesi lebuh raya bertol yang terlibat susulan pelaksanaan diskaun tol berkenaan.
Justeru, Kementerian Kerja Raya (KKR) berharap pengguna lebuh raya dapat memanfaatkan peluang ini dan merancang perjalanan dengan sebaiknya.
“Pengguna juga disaran menggunakan apps TuJu Highway Navigation App LLM dan aplikasi MyPLUS-TTA untuk perjalanan yang selesa dan lancar.
“Di samping itu, pengguna lebuh raya juga digalakkan mematuhi cadangan jadual waktu perjalanan atau travel time advisory (TTA) yang disyorkan serta perlu menitikberatkan aspek keselamatan dengan mematuhi had laju, papan tanda dan peraturan-peraturan di sepanjang lebuh raya,” kata Nanta Linggi lagi. – MalaysiaMADANI
