Berita

Lawatan ke Addis Ababa capai matlamat utama

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat Majlis Tertinggi Hal Ehwal Islam Ethiopia yang diketuai Presidennya, Sheikh Ibrahim Tufa pada sesi akhir lawatan rasmi di Addis Ababa, Republik Demokratik Persekutuan Ethiopia.

Beliau berkata, pertemuan penuh bermakna itu membuka ruang perbincangan serta bertukar pandangan berhubung usaha memperkukuh pembangunan ummah termasuk menangani gejala Islamofobia.

Menurut beliau, isu Islamofobia perlu ditangani dengan bijaksana, penuh hikmah serta kelembutan, berlandaskan nilai belas ihsan, kemanusiaan dan empati.

“Saya menyatakan keterujaan dan rasa hormat mendalam terhadap suasana harmoni antara Islam, Kristian dan pelbagai agama di Ethiopia.

“Ia merupakan satu warisan yang menunjukkan kematangan dan kebijaksanaan masyarakatnya dalam mengurus kepelbagaian secara damai,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.

Tegas beliau, Malaysia konsisten mengangkat martabat Islam sebagai agama yang membawa kesejahteraan dan toleransi melalui pendidikan, dakwah berhemah, dialog antara peradaban serta kerjasama erat dengan komuniti Islam di Ethiopia.

Sebagai tanda ukhuwah, kata beliau, satu penyerahan sumbangan kepada komuniti Islam setempat, termasuk senaskhah al-Quran edisi khas berserta rehal dan empat kotak al-Quran terjemahan bahasa Inggeris dan bertajwid sebagai simbol penyebaran ilmu dan persaudaraan.

“Secara keseluruhan, kunjungan ke Addis Ababa telah mencapai matlamat utama iaitu memperkukuh hubungan dua hala serta membuka ruang kerjasama perdagangan yang lebih luas antara dua negara sahabat,” ujar beliau.

Setelah selesai urusan rasmi di Addis Ababa, Perdana Menteri dan delegasi Malaysia berlepas menuju ke destinasi kedua iaitu Johannesburg, Afrika Selatan bagi menghadiri Sidang Kemuncak G20. -MalaysiaMADANI