Kerajaan akan terus memperkukuhkan program jualan-jualan murah seperti Jualan Rahmah MADANI dan Jualan Pra Syawal di pasar Tani bagi memastikan rakyat dapat memperoleh barangan keperluan pada harga yang lebih berpatutan, terutama menjelang musim perayaan.
Perkara itu dinyatakan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) Bil 1/ 2025, hari ini.
Katanya kerajaan juga merangka beberapa langkah strategik dalam usaha menangani kos sara hidup secara berkesan bagi memastikan kesejahteraan rakyat terus diutamakan melalui tindakan bersepadu dan berkesan.
“Kerajaan menyedari cabaran yang dihadapi rakyat hari ini khususnya dalam mendapatkan kesihatan yang mampan dan bekalan keperluan pada harga yang berpatutan.
“Kerajaan sentiasa komited untuk memastikan kesejahteraan rakyat terpelihara,” katanya.
Antara fokus utama mesyuarat ialah usaha mengawal kenaikan premium insurans dan takaful perubatan, memastikan bekalan makanan mencukupi menjelang Ramadan dan Syawal.
“Turut dibincangkan adalah memperkukuh perlindungan sosial dan pemadanan pekerjaan untuk meningkatkan pendapatan rakyat,” katanya.
Sehubungan itu, beberapa langkah telah dirangka termasuk pengagihan kadar pelarasan premium insurans kesihatan, penangguhan kenaikan premium, serta pembangunan produk insurans kesihatan yang lebih mampu milik.
“Langkah-langkah yang telah dibincangkan dalam mesyuarat hari ini akan diterjemahkan kepada pelaksanaan yang memberi manfaat langsung kepada rakyat, insya-Allah,” ujarnya lagi. – MalaysiaMADANI