Kerajaan MADANI menyalurkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM1.02 bilion bagi membaik pulih 34,470 unit rumah dalam tempoh dua tahun, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Nga Kor Ming berkata, usaha membaik pulih unit rumah tersebut membabitkan kerjasama dua kementerian termasuk kementeriannya dan juga Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
“KPKT membaik pulih 4,814 unit rumah dan membina 245 unit rumah baru dengan peruntukan RM104.4 juta sepanjang 2023 hingga 2024.
“KKDW pula melaksanakan baik pulih 23,458 unit rumah dan bina baharu 5,953 unit rumah dengan peruntukan RM920.4 juta,” katanya.
Kor Ming menambah usaha membaik pulih kediaman ini jelas menunjukkan komitmen kerajaan MADANI dalam meningkatkan taraf hidup rakyat khususnya untuk golongan miskin dan miskin tegar.
Selain itu, KPKT melalui Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) sedang mengambil langkah proaktif untuk memperkasa komuniti desa melalui Sistem Ciri-Ciri Spatial Desa Malaysia (S-CHARMs) .
Melalui sisitem ini mampu meningkatkan aktiviti perancangan dan pembangunan desa melalui penyediaan infrastruktur dan kemudahan awam di kawasan kampung.
Katanya, sebanyak 19,474 maklumat sempadan dan profil kampung berjaya dicerap hasil menggunakan sistem S-CHARMs.
“S-CHARMs telah diintegrasikan dengan Sistem Profil Kampung Peringkat Nasional di bawah KKDW untuk mempercepatkan pelaksanaan projek kemudahan asas dan infrastruktur berdasarkan data sebenar serta meningkatkan aktiviti perancangan dan pembangunan kawasan desa.
“Inisiatif ini memastikan pembangunan desa lebih sistematik dan efisien, memberikan manfaat langsung kepada penduduk luar bandar,” katanya. – MalaysiaMADANI