Berita

Program Madani Rakyat Zon Timur di Kuantan 5-7 Julai ini

PROGRAM MADANI Rakyat 2024 akan diteruskan ke zon timur bermula 5 hingga 7 Julai ini.

Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) dibawah Pejabat Perdana Menteri memaklumkan, program tiga hari itu akan diadakan di Dataran Sayangi Kuantan, Pahang.

“Program ini diteruskan ke peringkat negeri mengikut zon merangkumi Pahang, Terengganu dan Kelantan bagi memberi peluang kepada masyarakat setempat untuk bersama-sama memahami, melihat dan menilai dasar serta inisiatif baharu yang dilaksanakan oleh Kerajaan MADANI dalam usaha meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat.

Program MADANI Rakyat Zon Timur ini akan memberi tumpuan kepada aktiviti berkaitan kesejahteraan rakyat, agenda perpaduan, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan karnival kerjaya, pelancongan, pertanian dan keterjaminan makanan, kesejahteraan luar bandar ameran dan perkhidmatan berhubung pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dan kecerdasan buatan (AI) ,” katanya dalam kenyataan.

Turut diberi tumpuan ialah pelbagai perkhidmatan yang disediakan oleh agensi kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri berkaitan.

Lebih menarik, jualan MADANI dijangka mendapat sambutan susulan tawaran harga istimewa serta pameran aset-aset kerajaan turut disediakan untuk pengunjung.

Justeru, orang ramai dijemput untuk bersama-sama memeriahkan Program MADANI Rakyat Zon Timur pada 5 hingga 7 Julai ini bermula 9 pagi hingga 10 malam. – MalaysiaMADANI