Berita

Kerajaan kaji syarat kemasukan pelajar OKU dalam program TVET

JOHOR BAHRU: Kerajaan akan mempertimbangkan semula syarat kemasukan pelajar kategori orang kurang upaya (OKU) dalam program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata langkah itu bagi memudahkan kemasukan golongan OKU ke program TVET bersesuaian dengan keupayaan mereka.

Katanya, perkara itu juga akan dimaklumkan kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Majlis TVET Negara.

“Pertama ia akan membabitkan semua kementerian dan agensi. Saya akan bawa (perkara ini) kepada Jemaah Menteri, maaf saya tidak maklum mengenai perkara ini.

“Ia adalah untuk memastikan semua agensi kerajaan dan kementerian memastikan pengambilan golongan OKU ke program TVET.

“Majlis TVET dipengerusikan Ahmad Zahid. Saya akan beritahu dia walaupun ada kelonggaran untuk OKU, tetapi janganlah kenakan syarat seperti dua tangan. Syaratnya ialah mesti yang ada keupayaan.

“Insya-Allah ini boleh, kita beri ruang (melihat semula syarat TVET bagi pelajar OKU) dan saya rasa tiada masalah,” katanya menjawab soalan Alumni Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Ruzimi Mohamed dalam sesi soal jawab pada program Temu Anwar Johor Bahru di UTM, di sini, hari ini.

Dr Ruzimi dalam soalannya memaklumkan kekangan dihadapi pelajar OKU dalam permohonan program TVET yang meminta syarat perlu kedua-dua tangan, sedangkan ada OKU yang boleh melukis dan menulis menggunakan kaki dan mulut.

Beliau mengakui ada program TVET yang tidak sesuai dengan pelajar OKU dan perlu ada mekanisma baharu untuk melihat syarat kemasukan pelajar OKU mengikut keupayaan mereka.

Anwar yang juga Menteri Kewangan memaklumkan persetujuan dan akan membawa isu kuota pekerjaan satu peratus golongan OKU dalam kementerian dan agensi kerajaan, ke dalam mesyuarat Jemaah Menteri.

“Saya setuju dan akan bawa (isu kuota pengambilan pekerja OKU) dalam masyarakat jemaah menteri.

“Ia bagi memastikan semua agensi kerajaan dan kementerian melaksanakan pengambilan pekerja OKU mengikut kuota satu peratus,” katanya.

Dr Ruzimi dalam soalannya juga memaklumkan setakat ini hanya empat kementerian yang memenuhi kuota pengambilan pekerja OKU di negara ini.

Sementara itu, mengulas cadangan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub mengenai Kad Siswa Rahmah sebelum ini, Perdana Menteri berkata, perkara itu juga akan dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri.