Peranan Jawatankuasa Aduan (JKA) bersama empat lagi badan bebas sedia ada dilihat sudah mencukupi dalam mengawal selia tadbir urus Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Cadangan meletakkan SPRM di bawah bidang kuasa Parlimen dianggap tiada keperluan kerana SPRM kini tertakluk kepada sistem semak dan imbang yang ketat.
Ia membabitkan lima badan bebas utama iaitu Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR), Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Jawatankuasa Aduan (JKA), Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) serta Panel Penilaian Operasi (PPO).
Pengerusi JKA SPRM, Datuk Dr Ruziati Mior Ahamad Ariffin berkata, sepanjang penubuhan JKA sehingga tahun lalu, sebanyak 35 syor penambahbaikan telah dikemukakan kepada SPRM.
Beliau berkata, intipati Laporan Tahunan Jawatankuasa Aduan 2025 merangkumi statistik aduan salah laku pegawai SPRM yang diterima dan dibincangkan semasa mesyuarat empat kali setahun termasuk memperhalusi tindakan-tindakan oleh Bahagian Kecemerlangan dan Profesionalisme SPRM (BCP).
“Laporan Jawatankuasa Aduan ini dikemukakan kepada Ketua Pesuruhjaya berhubung tindakan-tindakan yang diambil supaya setiap keputusan adalah tepat.
“Ia sekali gus membantu Ketua Pesuruhjaya untuk menangani persepsi masyarakat terhadap SPRM,” katanya pada Sesi Penyerahan Buku Laporan Tahunan JKA Tahun 2025 kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki di Ibu Pejabat SPRM.
Hadir sama ahli panel JKA SPRM dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) SPRM, Datuk Junipah Wandi.
Sementara itu mengulas mengenai pengalaman JKA SPRM bekerjasama dengan Azam, Ruziati menyifatkan beliau sebagai pendengar yang baik dan responsif bagi setiap isu yang dikemukakan dengan mengambil tindakan sewajarnya.
Malah kata beliau lagi, Azam sering kali memperhalusi setiap cadangan menambah baik perkhidmatan SPRM. –MalaysiaMADANI
