Berita

FAMA diarah perluas outlet pasar tani

KUALA LUMPUR: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) diarah memperluas jumlah outlet pasar tani seperti disarankan Jabatan Perangkaan (DOSM) bagi memastikan rakyat mendapat bekalan makanan mencukupi pada harga berpatutan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, DOSM mengesyorkan minimum satu pasar tani bagi mukim dengan penduduk antara 3,001 hingga 5,000 orang dan sekurang-kurangnya 10 outlet bagi kawasan dengan populasi 100,001 ke atas.

Sehubungan itu, beliau berkata, kajian itu mencadangkan sekurang-kurangnya 3,879 outlet pasar tani dibuka di seluruh negara, masing-masing 3,791 outlet di Semenanjung, Sabah (64) dan Sarawak (24).

Katanya, kajian DOSM itu dibuat bagi melihat taburan serta kepadatan penduduk mengikut mukim dalam daerah, masing-masing di Bagan Datuk, Perak; Port Dickson, Negeri Sembilan; Petaling, Selangor dan Samarahan, Sarawak.

“Jumlah penambahan outlet ini sedang diteliti FAMA bagi tindakan lanjut supaya semua rakyat tanpa mengira latar belakang dapat menikmati bekalan makanan mencukupi, terutama di kawasan berkepadatan tinggi, dengan harga mampu bayar.

“Adalah wajar untuk semua bersama-sama Kerajaan MADANI menggembleng usaha dalam membantu rakyat serta mengurangkan berpolemik. Kos sara hidup adalah agenda nasional dan menuntut ‘whole nation approach’ (pendekatan menyeluruh),” katanya.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan Pelaksanaan Majlis Tindakan Sara Hidup (NACCOL) Bilangan 3 Tahun 2023, di sini, hari ini.