Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah atas penganjuran PETRONAS Grand Prix (GP) Motosikal Malaysia 2026 yang melabuhkan tirai dengan jaya.
Beliau berkata, berlangsung dengan penuh meriah, penonton juga pastinya teruja menyaksikan aksi pelumba-pelumba terbaik dunia berentap di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).
“Pastinya banyak kenangan menarik tercipta sepanjang edisi ini. Tahniah kepada semua pemenang dan pelumba yang mengambil bahagian,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.
Perdana Menteri turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada seluruh petugas, penganjur, sukarelawan dan para peminat atas usaha serta sokongan dalam menjayakannya.
Kata beliau, semoga kemeriahan dan semangat sukan permotoran seperti MotoGP ini terus memberi inspirasi kepada lebih ramai anak muda untuk mengharumkan nama Malaysia.
“Jumpa lagi di Sepang!,” ujar beliau lagi. -MalaysiaMADANI
