Pada hari kedua di Shenzhen, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan empat syarikat utama dari China dalam sektor teknologi tinggi bagi tujuan pelaburan.
Perdana Menteri berkata, empat syarikat tersebut adalah Shenzhen Mindray Bio-Medical Electronics, Guangzhou Tinci Materials Technology, Shenzhen Capchem Technology dan XTC New Energy Materials (Xiamen).
Beliau berkata, perbincangan dilakukan tertumpu kepada keupayaan pelaburan baharu, peluasan operasi serta peningkatan kapasiti pengeluaran di Malaysia.
“Syarikat Mindray sedang meneroka peluang untuk membangunkan fasiliti pembuatan atau hab perkhidmatan peranti perubatan di Malaysia, termasuk kerjasama dengan pengilang dan pembekal komponen tempatan.
“Dalam sektor bahan termaju dan industri bateri pula, Tinci Materials bercadang untuk menghasilkan elektrolit dan bahan kimia khusus bagi bateri litium-ion, manakala XTC New Energy Materials sedang merancang pelaburan dalam pembuatan bahan katod bateri lithium-ion di Selangor,” kata beliau menerusi laman media sosialnya..
Tambah beliau lagi, Capchem Technology yang telah beroperasi di Kulim Hi-Tech Park, Kedah sedang meneliti cadangan pembesaran kapasiti pengeluaran melalui pembinaan kilang kedua bagi memenuhi keperluan pasaran Asia Tenggara.
Dalam pada itu, Perdana Menteri turut memberi tumpuan kepada peluang penglibatan syarikat tempatan dalam rantaian bekalan, pemindahan teknologi serta pembangunan bakat dan kepakaran teknikal.
Kata beliau, Malaysia komited tegas menarik pelaburan berkualiti tinggi yang tidak hanya memacu pertumbuhan ekonomi, malah membawa manfaat yang bermakna kepada negara dan rakyat.
“Walhasil, keutamaan kita adalah memastikan pelaburan ini mampu serta berupaya memperkasa industri tempatan, meningkatkan daya saing syarikat Malaysia serta mempercepat pemindahan teknologi.
“Selain itu mampu mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti dan berkemahiran tinggi, seperti yang didambakan dalam Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP),” ujarnya. -MalaysiaMADANI
