Berita

Kebajikan warga ATM, kerajaan setuju tambah baik aspek kemajuan kerjaya pegawai

Kerajaan MADANI bersetuju melaksanakan penambahbaikan dalam aspek kemajuan kerjaya pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebagai pengiktirafan terhadap amanah dan tanggungjawab besar dalam mempertahankan kedaulatan serta keselamatan negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kesepakatan berhubung perkara itu dicapai sewaktu mempengerusikan pertemuan khas bersama kepimpinan tertinggi ATM.

Beliau berkata, ia selaras dengan keperluan memperkukuh keupayaan pertahanan negara dalam mendepani landskap keselamatan serta geostrategik dunia yang semakin kompleks dan mencabar.

“Pertemuan ini turut memberi ruang untuk kami meneliti tahap kesiapsiagaan setiap ketumbukan, selain keperluan perolehan dan penyelenggaraan aset pertahanan bagi memastikan keupayaan operasi ATM sentiasa berada pada tahap terbaik,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.

Malah Perdana Menteri turut menghargai pandangan dan maklum balas langsung yang disampaikan daripada kepimpinan ATM.

Ini kerana kata beliau, setiap dasar dan keputusan kerajaan mesti berpaksikan keperluan sebenar di lapangan, bukan sekadar pertimbangan di atas kertas.

Tegas beliau, Kerajaan MADANI akan terus memberikan perhatian sewajarnya terhadap keperluan dan kebajikan warga ATM. 

“Sesungguhnya, mempertahankan kedaulatan dan keamanan tanah air bukan sekadar tanggungjawab pasukan keselamatan, tetapi amanah besar yang mesti kita junjung bersama,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI