Berita

Ekonomi negara terus kekal cemerlang, RM350.4 bilion pelaburan diluluskan

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melahirkan rasa syukur atas pencapaian ekonomi negara yang mencatat keputusan memberangsangkan sehingga suku ketiga tahun ini. 

“Alhamdulillah, bagi tempoh Januari hingga September 2026, Malaysia merekodkan RM350.4 bilion pelaburan diluluskan.

“Ia meningkat 20.7 peratus berbanding tahun lalu dan bakal menjana 152,090 peluang pekerjaan baharu buat rakyat,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.

Perdana Menteri berkata, pencapaian itu membuktikan keyakinan tinggi pelabur tempatan dan antarabangsa terhadap kestabilan politik, kejelasan dasar serta hala tuju Ekonomi MADANI.

Namun menurut Perdana Menteri lagi, kejayaan tersebut bukan sekadar soal angka. 

Beliau berkata, Kerajaan MADANI melalui MITI dan MIDA akan terus memastikan setiap pelaburan ini direalisasikan menjadi pekerjaan berkualiti dan memacu industri tempatan.

“Ia diharap dapat memberi limpahan ekonomi yang benar-benar dirasai oleh seluruh rakyat Malaysia,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI