Berita

KDNK lepasi 5 peratus, Malaysia catat prestasi ekonomi terbaik

Pertumbuhan ekonomi negara sebanyak 5.5 peratus pada suku ketiga 2026 membawa pertumbuhan bagi sembilan bulan pertama tahun ini kepada 5.6 peratus, berbanding 4.8 peratus bagi tempoh sama tahun lalu.

Kementerian Kewangan (MOF) berkata, prestasi itu meletakkan Malaysia di landasan untuk mencatat pertumbuhan melebihi 5 peratus bagi tahun ketiga berturut-turut.

Kata MOF, pertumbuhan menyeluruh itu disokong oleh permintaan domestik yang kekal berdaya tahan, dengan peningkatan 4.8 peratus.

“Eksport melonjak 46 peratus pada suku ketiga tahun ini, dipacu oleh permintaan yang memberangsangkan terhadap produk elektrik dan elektronik (E&E) (62.1 peratus) seiring dengan kitaran pertumbuhan industri teknologi global.

“Pada September lalu, Malaysia mencatat nilai eksport bulanan tertinggi dalam sejarah iaitu RM215.1 bilion, sekali gus melepasi paras RM200 bilion buat pertama kali,” kata MOF menerusi kenyataan medianya. 

Menurutnya, prestasi ekonomi yang kukuh dicatatkan itu turut diiringi perkembangan positif dalam pasaran buruh, dengan kadar pengangguran menurun kepada 2.9 peratus pada September lalu berbanding 3.0 peratus pada bulan sama tahun lalu.

Tambah MOF lagi, inflasi pada September lalu juga kekal terkawal pada 1.8 peratus. -MalaysiaMADANI