Meraikan ulang tahun ke-50 Bursa Malaysia, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa ia sebuah institusi penting dalam pembangunan ekonomi dan pasaran modal negara.
Perdana Menteri berkata, daripada 264 syarikat tersenarai bernilai RM12.7 bilion pada 1976, Bursa kini mempunyai lebih 1,100 syarikat dengan permodalan pasaran melebihi RM2 trilion.
“Namun di sebalik pencapaian angka ini, ukuran sebenar kejayaan Bursa Malaysia terletak pada keyakinan yang dibina serta peluang ekonomi yang diwujudkan,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.
Beliau berkata, tatakelola yang baik, ketelusan dan keadilan mesti terus diperkukuh agar pasaran modal bukan sahaja diyakini pelabur, malah membuka lebih banyak ruang kepada perusahaan tempatan untuk berkembang.
Menurut beliau, dalam mendepani ketidaktentuan geopolitik, perubahan teknologi dan peralihan tenaga global, kerangka Ekonomi MADANI akan terus menjadi landasan untuk memperkukuh daya tahan ekonomi, meningkatkan daya saing serta memastikan pertumbuhan yang mampan dan terangkum.
“Moga Bursa Malaysia terus melangkah maju dalam lima dekad mendatang sebagai institusi yang diyakini dan pemangkin kepada kemakmuran negara,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI
