Berita

Hab logistik utama antarabangsa, Daiso pilih Malaysia untuk GDC baharu bernilai RM1.2 bilion

Keupayaan dan kestabilan negara menyaksikan Malaysia terus menjadi pilihan syarikat antarabangsa sebagai destinasi hab logistik dan pusat pengedaran serantau.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perasmian pusat pengedaran global (GDC) baharu Daiso Malaysia Group Sdn Bhd (Daiso) merupakan satu inisiatif swasta bernilai RM1.2 bilion yang mencerminkan keyakinan berterusan pelabur antarabangsa terhadap potensi negara.

Beliau berkata, pusat tersebut akan berfungsi sebagai hab logistik utama Daiso dengan menghubungkan rangkaian pengeluaran di Jepun, China dan pembekal antarabangsa kepada 27 negara di Asia dan Timur Tengah.

“Saya berharap kemudahan ini turut membuka laluan kepada lebih banyak produk buatan Malaysia untuk menembusi pasaran antarabangsa menerusi rangkaian pengedaran global Daiso. 

“Ini sekali gus memberi peluang kepada pengeluar dan pembekal tempatan memperluas pasaran serta meningkatkan daya saing produk keluaran negara,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.

Perdana Menteri berkata, inisiatif berskala besar itu bukan sahaja memperkukuh peranan Malaysia dalam rantaian bekalan dan perdagangan serantau, malah merancakkan sektor logistik serta menyediakan peluang pekerjaan bernilai tinggi baharu.

Menurut beliau, setiap kehadiran pelabur membawa nilai tambah kepada ekonomi domestik, meningkatkan keupayaan industri dan memperluas peluang kemakmuran kepada rakyat.

“Keyakinan ini mencerminkan hasil usaha berterusan Kerajaan dalam menyediakan persekitaran perniagaan yang kondusif, dasar yang jelas serta ekosistem ekonomi yang berdaya saing,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI