Menjelang sambutan Deepavali yang bakal tiba hujung minggu ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil kesempatan menyantuni kumpulan peniaga dan pengunjung di Mega Bazar, Brickfields, Kuala Lumpur.
Perdana Menteri berkata, kemeriahan Deepavali yang bakal disambut kaum India mula terasa dengan pelbagai persiapan dan jualan sempena perayaan tersebut.
“Seronok dapat bertemu, bertegur sapa dan berkongsi kemeriahan bersama mereka.
“Sambil kesempatan ada bertanyakan persiapan serta harapan menjelang perayaan ini,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.
Sempena perayaan ini, beliau berkata, Kerajaan MADANI menyalurkan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 4 berjumlah RM1.1 bilion kepada 5.4 juta penerima secara berperingkat bermula 4 hingga 6 November ini.
Menurut beliau, bantuan yang diberikan itu dapat meringankan perbelanjaan keluarga yang bakal menyambut Deepavali apabila lebih 630,000 penerima terdiri daripada masyarakat India.
Malah kata Perdana Menteri, bantuan STR itu juga di harap mampu membantu penerima lain untuk mengurus keperluan harian dan perbelanjaan akhir tahun.
“Kerajaan MADANI akan terus memastikan bantuan seperti STR dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sampai kepada golongan yang memerlukan agar manfaatnya dapat dirasai rakyat,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI
