Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa Majlis Sejarawan Negara (MSN) mempunyai peranan penting sebagai tonggak pemeliharaan warisan sejarah dan sumber rujukan utama negara.
“Sejarah bukan sekadar untuk dihafal, tetapi perlu dihayati sebagai asas pembentukan jati diri.
“Selain itu, ia juga sebagai pengukuhan semangat kebangsaan dan penyemaian rasa cinta akan negara,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.
Beliau berkata, dalam mendepani perkembangan pesat kecerdasan buatan (AI), penghayatan sejarah semakin penting agar kemajuan teknologi tidak menghakis nilai, budaya dan identiti bangsa.
Justeru itu kata beliau, sejarah negara sewajarnya terus dipelihara berlandaskan fakta dan penyelidikan sahih.
Tambah beliau lagi, sejarah negara perlu disampaikan dengan pendekatan yang lebih segar dan dekat dengan generasi muda, demi membina masa depan negara yang berpaksikan jati diri nasional. -MalaysiaMADANI
