Berita

Magica Garden: 101 jenis bunga, tanaman hiasan dan edibel di MAHA 2026

Bagi peminat bunga, tanaman hiasan dan tanaman edibel, Laman Florikultur ‘Magica Garden’ sempena penganjuran Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) seharusnya tidak terlepas untuk dikunjungi.

Laman Florikultur ‘Magica Garden’ Jabatan Pertanian dilancarkan secara rasmi oleh Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di MAEPS, Serdang, Selangor.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) berkata, bertemakan ‘Magica Garden’, laman florikultur itu menampilkan 12 elemen tumpuan utama serta 101 jenis tanaman bunga-bungaan, tanaman hiasan dan tanaman edibel. 

Katanya, pemilihan 101 jenis tanaman tersebut membawa simbolik penghormatan kepada 101 tahun sambutan MAHA, selain menampilkan reka bentuk landskap yang menarik, lokasi fotografi serta pencahayaan artistik pada sebelah malam.

“Industri florikultur merupakan antara subsektor pertanian bernilai tinggi yang terus menunjukkan pertumbuhan dan menyumbang kepada ekonomi negara,” kata KPKM menerusi laman media sosialnya. 

Menurutnya, bagi tempoh 2018 hingga 2024, sektor tersebut menyumbang RM3.1 bilion kepada nilai eksport keseluruhan negara.

Jelasnya, pencapaian baik itu sekali gus meletakkan Malaysia di kedudukan ke-10 pengeksport florikultur utama dunia serta peneraju di rantau ASEAN.

Sementara itu dalam majlis perasmian sama, berlangsungnya penyampaian Cek Cura Inisiatif Program Pemerkasaan Agromakanan Negara (PPAN) berjumlah RM800,000 kepada 22 pengusaha tempatan bagi membantu meningkatkan produktiviti, kualiti dan daya saing industri florikultur ke pasaran global.

“Pengunjung MAHA 2026 dijemput untuk hadir dan menghayati keindahan serta meneroka Laman Florikultur “Magica Garden” sepanjang penganjuran MAHA 2026,” katanya. -MalaysiaMADANI