Kerjasama dan hubungan baik Malaysia-China terus diperkukuh menerusi lawatan kerja Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke republik tersebut selama tiga hari.
Perdana Menteri berkata, jelajah Diplomasi MADANI diteruskan ke Republik Rakyat China atas jemputan rakan sejawatnya, Premier Li Qiang bagi mengadakan lawatan kerja di Shanghai dan Hangzhou.
Beliau berkata, selain mesyuarat dua hala untuk memperkukuh hubungan diplomatik serta kerjasama dalam pelbagai bidang strategik antara Malaysia dan China, satu pertemuan bersama wakil syarikat-syarikat terkemuka bakal diadakan demi menarik pelaburan berkualiti dan berimpak tinggi ke Malaysia.
“Saya juga akan memenuhi undangan ke WorldSkills Competition Shanghai 2026 untuk memberi sokongan secara langsung kepada anak-anak Malaysia yang bakal bertanding bagi mengharumkan nama negara di persada antarabangsa,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.
Sementara di Hangzhou, kata beliau, jadual kerja berlangsung di Ekspo Perdagangan Digital Global (GDTE), di mana Malaysia antara negara tetamu kehormat yang dijemput oleh kerajaan China.
“Moga lawatan kerja selama tiga hari ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya dan membuahkan hasil yang positif buat kedua-dua negara, Insya-Allah,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI
