Berita

Jangan terperangkap dalam prasangka kaum, perbezaan sempit

Kejayaan besar dicapai Malaysia pada hari ini merupakan hasil daripada sikap toleransi tinggi masyarakat berbilang kaum dan kesepakatan dalam pelbagai perkara demi kesejahteraan negara. 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia tidak akan menjadi negara yang besar sekiranya masyarakat terus terperangkap atau terheret dalam prasangka kaum dan perbezaan yang sempit.

Tegas beliau, kekuatan negara terletak pada kesediaan orang ramai menerima hakikat bahawa Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan dan seluruh rakyat Malaysia adalah sebahagian daripada satu keluarga besar.

“Seluruh bangsa yang berkongsi tanah air dan masa depan yang sama,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.

Menurut beliau, ia adalah Wa’ad Malaysia bahawa janji dan ikrar untuk mempertahan hak setiap rakyat, menghormati bahasa, budaya dan agama masing-masing.

Tambah beliau lagi, wa’ad yang disepakati turut memastikan tiada sesiapa berasa tersisih di bumi sendiri.

“Kepelbagaian bukan kelemahan kita. Ia khazanah dan kekuatan Malaysia. 

“Kita harus menyuburkannya sambil bersama-sama membina sebuah negara yang bersih daripada rasuah, kukuh perpaduannya dan berani melangkah sebagai satu bangsa,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI