Berita

MA63: Perkota janji, jamin kesejahteraan untuk semua -PM

Kesepakatan dan saling memahami merupakan asas terpenting dalam membina sebuah negara yang berdaya maju, sekali gus memastikan kepentingan rakyat diutamakan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia dibina atas satu waad nasional, yakni ikrar, janji dan muafakat antara pimpinan dan rakyat untuk mempertahankan sebuah Kerajaan Persekutuan yang berdaulat, menegakkan keadilan serta menjamin kesejahteraan untuk semua. 

Beliau menjelaskan, waad tersebut merupakan satu pegangan teguh dan perkota sebagai amanah bersama yang perlu dipikul oleh seluruh lapisan masyarakat majmuk di negara ini. 

“Justeru, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) tidak boleh dilihat sebagai urusan Sabah dan Sarawak semata-mata. 

“MA63 adalah waad serta tanggungjawab nasional dan mesti dijawab secara bersama,” kata beliau menerusi laman media sosialnya. 

Terdahulu Perdana Menteri menghadiri sambutan Hari Malaysia 2026 peringkat kebangsaan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di Kuching, Sarawak.

Tetamu kehormat pada sambutan itu ialah Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor. 

Perdana Menteri berkata, seluruh rakyat sudah berjanji dan menjadi tanggungjawab generasi hari ini untuk menterjemahkan serta memperkota janji yang menjadi asas pembentukan Malaysia.

Menurut beliau, kerajaan hari ini bersyukur kerana majoriti rakyat Malaysia terus meletakkan kepentingan kesatuan dan perpaduan yang utuh mengatasi kepentingan kelompok. 

Jelas beliau, perbezaan boleh dibicarakan dalam ruang demokrasi, namun ruang itu harus digunakan untuk membina dan memperkukuh negara, bukan meroboh atau merobek ikatan yang telah dibina sekian lama.

Tegas beliau, sebagai rakyat Malaysia yang mencintai keamanan adalah sama sekali tidak boleh mengizinkan seruan berunsur pemencilan, kesempitan atau kepuakan mengatasi kepentingan negara. 

“Ini bukan soal Semenanjung, Sabah atau Sarawak secara terpisah. Naratif kita adalah naratif nasional, kepentingan kita adalah kepentingan bersama dan kemajuan Sabah dan Sarawak adalah kemajuan Malaysia seluruhnya.

“Inilah semangat Malaysia yang mesti terus kita hidupkan, bukan sekadar dalam ungkapan, tetapi diterjemahkan melalui ikhtiar dan tindakan yang menjamin keadilan, kesejahteraan serta kemakmuran seluruh rakyat,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI