Berita

APEC 8th HRDMM 2026: Malaysia perkukuh agenda pembangunan sumber manusia serantau

Malaysia meneruskan penglibatan aktif di peringkat antarabangsa menerusi penyertaan dalam Mesyuarat Menteri-Menteri Pembangunan Sumber Manusia APEC Ke-8 (HRDMM).

Mesyuarat dua hari tersebut berlangsung dari 20 hingga 21 September 2026 di Nanjing, China.

Delegasi Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) ke mesyuarat peringkat tinggi itu diketuai oleh Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan. 

KESUMA berkata, penyertaan itu memberi tumpuan khusus kepada usaha memperkukuh agenda pembangunan sumber manusia, pemantapan kemahiran tenaga kerja masa hadapan serta perluasan peluang pekerjaan yang inklusif dan saksama di rantau Asia-Pasifik.

“Sebagai pembuka tirai program, Ketua Setiausaha (KSU) KESUMA, Datuk Azman Mohd Yusof telah hadir mewakili Ketua Delegasi ke Majlis Makan Malam Aluan (Welcoming Dinner).

“Ia menyemarakkan lagi hubungan diplomatik dan kerjasama strategik antara ekonomi ahli APEC,” kata KESUMA menerusi laman media sosialnya.

Menurutnya lagi, penyertaan berterusan Malaysia dalam APEC HRDMM 2026 ini membuktikan komitmen jitu negara dalam memacu keberhasilan modal insan yang berdaya saing, kalis masa hadapan dan bersedia mendepani cabaran dinamik pasaran kerja global. -MalaysiaMADANI