Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Kemboja, Prak Sokhonn, sempena lawatan rasmi ke Malaysia selama dua hari.
Lawatan tersebut bersempena Mesyuarat Ketiga Suruhanjaya Bersama bagi Kerjasama Dua Hala (JCBC) Malaysia-Kemboja yang dijadualkan berlangsung hari ini.
Perdana Menteri berkata, mesyuarat tersebut merupakan landasan penting menjelang sambutan ulang tahun ke-70 hubungan diplomatik Malaysia dan Kemboja pada 2027.
“Ini sekali gus mencerminkan eratnya hubungan persahabatan serta perkongsian strategik yang berkekalan antara kedua-dua negara,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.
Beliau berkata, ruang yang ada digunakan untuk kedua-dua negara terus memperkasa kerjasama strategik merangkumi perdagangan, pelaburan, ekonomi digital, kecerdasan buatan (AI), industri halal, keselamatan makanan serta pembangunan modal insan,
Selain itu kata beliau, perbincangan juga tertumpu kepada usaha memperkukuh kerjasama membanteras jenayah rentas sempadan.
Sebagai negara anggota ASEAN, jelas beliau, Malaysia dan Kemboja berkongsi tanggungjawab untuk memelihara keamanan, memperkukuh perpaduan serantau dan merealisasikan Wawasan Komuniti ASEAN 2045 demi masa depan yang lebih makmur buat seluruh rakyat di rantau ini.
“Moga hubungan Malaysia-Kemboja terus diperkukuh, sekali gus membuka lebih banyak peluang kerjasama yang membawa manfaat bersama kepada kedua-dua negara dan rakyatnya,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI
