Berita

Tingkat kebolehpasaran graduan TVET, peluang miliki pensijilan antarabangsa

Menyedari kepentingan dan manfaat besar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menerusi Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) memperkukuhkan lagi bidang itu di persada antarabangsa.

Untuk tujuan tersebut, JPK telah melancarkan Program Pilot Dual Certification JPK–City & Guilds 2026, satu inisiatif strategik ke arah memperkukuh pengiktirafan antarabangsa bagi Sijil Kemahiran Malaysia (SKM). 

KESUMA berkata, satu sesi taklimat kepada Pusat Bertauliah JPK telah diadakan di Cyberview Resort & SPA, Cyberjaya.

Katanya, program itu telah disertai 30 orang wakil Pusat Bertauliah JPK dalam bidang pastri dan kulinari dari seluruh negara. 

“Objektif utama program ini adalah bertujuan meningkatkan kebolehpasaran graduan TVET di peringkat global dan memperkasa kualiti latihan kemahiran mengikut standard antarabangsa,” kata KESUMA menerusi laman media sosialnya.

Tambahnya lagi, program seumpama itu dapat memperluaskan lagi jaringan kerjasama strategik antara industri, penyedia latihan dan badan pensijilan antarabangsa.

Jelasnya, semua inisiatif tersebut mampu menyokong aspirasi Malaysia sebagai hab TVET bertaraf dunia.

Melalui Pensijilan Dwi (Dual Certification), katanya, peserta bukan sahaja memperoleh pengiktirafan SKM, malah berpeluang memiliki pensijilan antarabangsa yang membuka lebih banyak peluang kerjaya di dalam dan luar negara.

“Bersama kita memacu kecemerlangan TVET Malaysia ke persada antarabangsa,” ujarnya. -MalaysiaMADANI