Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Mengenai Keselamatan dan Kesesakan Jalan Raya sebagai persediaan bagi Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keselamatan dan Kesesakan Jalan Raya (JK-MKKJR) Bilangan 1 Tahun 2026 yang dijadualkan pada Isnin.
MOT dalam kenyataannya berkata, mesyuarat tersebut menjadi platform penyelarasan untuk memperhalusi isu, cadangan dan tindakan strategik sebelum perkara-perkara berkaitan dibawa ke peringkat Jawatankuasa Kabinet.
Katanya, antara perkara utama yang dibincangkan termasuk perkongsian amalan terbaik industri minyak dan gas oleh PETRONAS Dagangan Berhad menerusi pelaksanaan projek rintis Safety Framework (SAFERO) serta intervensi majikan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi meningkatkan keselamatan jalan raya.
“Selain itu, perkara dibincangkan adalah Pelan Pengurusan Trafik Projek LRT Mutiara yang memberi tumpuan kepada penyelarasan dan penyuraian trafik sepanjang tempoh pembinaan dan operasi projek,” kata MOT menerusi laman media sosialnya.
Menurutnya, mesyuarat turut meneliti pembentangan berkaitan Nilai Kehidupan Statistik (VSL) bagi memahami secara lebih menyeluruh impak ekonomi dan sosial akibat kematian serta kecederaan yang berpunca daripada nahas jalan raya.
Tambahnya, perbincangan itu penting bagi memastikan setiap cadangan yang dikemukakan ke Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet mempunyai hala tuju yang jelas, tindakan yang boleh dilaksanakan, agensi peneraju yang dikenal pasti serta sasaran dan hasil yang boleh diukur.
“Pendekatan bersepadu dan berasaskan data ini mencerminkan komitmen berterusan MOT untuk memperkukuh keselamatan jalan raya serta menangani isu kesesakan secara lebih strategik, sistematik dan berkesan demi kesejahteraan rakyat,” ujarnya. -MalaysiaMADANI
