Berita

JKBE perkukuh keselamatan, kesiapsiagaan di Pantai Timur Sabah

Keselamatan Negeri Di Bawah Bayu dan kesiapsagaan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) menangani sebarang kemungkinan menjadi keutamaan Kerajaan MADANI bagi memastikan kesejahteraan rakyat kekal terjamin.

Merealisasikan perkara tersebut, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bersama Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Mohd. Noor telah mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Zon Selamat Sabah Timur (JKBE) Bilangan 1 Tahun 2026. 

Kementerian Dalam Negeri (KDN) berkata, mesyuarat tersebut memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh tahap keselamatan, kesiapsiagaan serta keberkesanan pengoperasian ESSCOM dalam memastikan keselamatan dan kedaulatan Pantai Timur Sabah terus terpelihara.

Katanya, mesyuarat turut menekankan kepentingan kerjasama strategik dan penyelarasan erat antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Sabah, ESSCOM serta agensi keselamatan dan penguatkuasaan. 

“Pengoperasian keselamatan di ESS Zone akan terus diperkasa menerusi pendekatan berteraskan risikan, penggunaan teknologi dan penggemblengan aset secara bersepadu khususnya di kawasan berisiko tinggi,” kata KDN menerusi laman media sosialnya.

Pada masa sama, menurutnya, aspek kebajikan dan kesiapsiagaan warga ESSCOM terus diberikan perhatian, termasuk penyediaan kemudahan kediaman yang lebih baik.

Jelasnya, ia merupakan pelaburan strategik dalam meningkatkan moral, kebajikan dan keupayaan anggota melaksanakan amanah menjaga keselamatan negara.

Tambahnya, JKBE akan terus menjadi wadah strategik dalam memastikan setiap isu keselamatan disusuli dengan tindakan, agensi peneraju, garis masa serta ukuran keberhasilan yang jelas.

“Semua ini demi memperkasa ESSCOM sebagai benteng keselamatan serta pemangkin kestabilan dan kemakmuran Zon Selamat Sabah Timur (ESSZone),” ujarnya. -MalaysiaMADANI