Berita

Insiden 3 anggota PDRM maut terkena renjatan elektrik, PM gesa siasatan menyeluruh

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan takziah dan berasa dukacita setelah menerima berita tiga anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) maut dipercayai akibat renjatan elektrik dalam kejadian di Beaufort, Sabah.

Ekoran kejadian itu, Perdana Menteri meminta agar siasatan dijalankan secara menyeluruh, telus dan segera bagi mengenal pasti punca kejadian tragis tersebut. 

Tegas beliau, langkah penambahbaikan perlu diambil supaya tragedi seumpama itu tidak berulang.

“Takziah kepada seluruh ahli keluarga mangsa serta warga PDRM. Jasa dan pengorbanan mereka dalam memelihara keamanan serta keselamatan negara akan sentiasa dikenang,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.

Jenazah tiga anggota tersebut telah dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu pada awal pagi ini dari Hospital Beaufort untuk menjalani bedah siasat. 

Jenazah akan menjalani proses bedah siasat serta urusan dokumentasi, sebelum diserahkan kepada waris. -MalaysiaMADANI