Belia bukan sahaja memainkan peranan besar dalam proses pembangunan negara, malah menjadi suara penting dalam menyatakan hasrat masyarakat terhadap keperluan semasa.
Untuk itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) adalah pelanjut perjuangan mahasiswa dan dakwah yang punya jati diri harakah Islamiah.
Beliau berkata, ABIM yang kini pada usia 55 tahun, ia bukan sekadar hitungan umur, tetapi garisan perjuangan yang ditulis dengan pengorbanan, adab, akhlak dan kepercayaan.
“Suara dakwah bukan sekadar suara di mimbar, tetapi denyut yang menghidupkan umat,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.
Selain itu menurut beliau, peranan besar ABIM adalah menyantuni mustadh’afin, mendidik generasi, mengangkat martabat insan dan menyalakan obor perjuangan di tengah zaman yang sering gelap oleh kekeliruan.
Sehubungan itu kata beliau, ABIM perlu menjadi pohon yang akarnya teguh mencengkam nilai, akarnya kukuh menahan badai dan dahannya terus rendang menaungi umat.
“Selamat Menyambut Ulang Tahun ke-55 ABIM,” ujar Perdana Menteri. -MalaysiaMADANI
