Malaysia tidak boleh lagi bergantung dengan pendekatan lama untuk menghadapi sebarang ujian serta ancaman baharu dalam dunia teknologi yang semakin kompleks dan mencabar.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendekatan konvensional semata-mata tidak lagi memadai untuk menangkis ancaman baharu yang semakin kompleks, khususnya dalam era kecerdasan buatan (AI) dan teknologi digital yang berkembang begitu pantas.
“Atas sebab itu, kita mesti memperkukuh keupayaan negara melalui teknologi dan sistem keselamatan yang lebih canggih,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.
Selain itu tegas beliau, negara perlu melahirkan lebih banyak bakat baharu serta generasi muda yang celik digital, berkemahiran tinggi dan memahami cabaran keselamatan masa hadapan.
Menurut beliau, keselamatan negara bukan sekadar tanggungjawab agensi penguatkuasaan kerana ia adalah amanah bersama yang menuntut kesedaran serta peranan setiap rakyat, setiap keluarga dan setiap komuniti.
Kata beliau, budaya berwaspada dan bertanggungjawab wajib dipupuk di setiap rumah, maka benteng pertahanan negara akan menjadi lebih kukuh.
“Saya tekankan bahawa Malaysia perlu bersedia mendepani landskap ancaman baharu dengan ilmu, teknologi, inovasi dan semangat kebersamaan demi menjamin keselamatan serta kedaulatan negara untuk generasi akan datang,” ujar beliau.
Terdahulu Perdana Menteri merasmikan Program Bulan Keselamatan Negara 2026 dan National Cyber Security Summit (NCSS) 2026. -MalaysiaMADANI
