Kemudahan sempurna membabitkan agensi keselamatan negara terus menjadi keutamaan Kementerian Dalam Negeri (KDN) terutama dalam memberi keselesaan kepada petugas dan orang ramai secara umumnya.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, sebagai sebuah negeri yang penting berada di selatan tanah air, Johor merupakan pintu masuk utama orang ramai untuk berkunjung ke Singapura.
Untuk itu, beliau berkata, menjadi satu kewajipan kepada KDN untuk meningkatkan kemudahan agensi keselamatan di Johor kerana ia nadi utama keselamatan negara dan perkhidmatan awam.
“Oleh itu pihak kementerian terus memberi tumpuan kepada pelaksanaan projek pembangunan di Johor melalui agensi-agensi di bawah KDN merangkumi PDRM, Imigresen, JPN, Penjara, AADK dan APMM,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.
Beliau berkata, pelbagai projek pembangunan telah disenaraikan bagi memperkukuh infrastruktur, meningkatkan kecekapan operasi serta menambah baik kemudahan perkhidmatan kepada rakyat.
Jelas beliau, ia melibatkan pembinaan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat, perolehan tanah bagi IPD Pengerang, pembaikan kuarters dan lif premis PDRM, selain penambahbaikan kemudahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Bangunan Sultan Iskandar dan Kompleks Sultan Abu Bakar.
Kata beliau, setiap projek tersebut dirancang bagi memastikan perkhidmatan keselamatan dan sempadan dapat dilaksanakan dengan lebih cekap, tersusun serta berintegriti.
Dalam masa yang sama, katanya, pembinaan Pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Daerah Batu Pahat, naik taraf sistem asas di Penjara Kluang dan Penjara Simpang Renggam, pembangunan semula pejabat Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) serta Pusat Rawatan dan Pemulihan Dalam Komuniti, termasuk naik taraf jeti dan bangunan di Abu Bakar Maritime Base.
Tegas beliau, semua pelaksanaan itu membuktikan komitmen KDN untuk memastikan kemudahan anggota dan perkhidmatan rakyat terus diperkasa.
“Insya-Allah, KDN akan terus memastikan setiap peruntukan dan projek yang dilaksanakan memberi manfaat langsung kepada rakyat, memperkukuh kesiapsiagaan agensi keselamatan serta menyokong pembangunan Johor sebagai negeri yang selamat, cekap dan sejahtera,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI
