Malaysia-Thailand mengukuhkan lagi persahabatan sebagai negara berjiran menerusi perkongsian strategik demi memastikan keamanan, kemakmuran dan kesejahteraan kedua-dua negara.
Perkara itu dizahirkan dengan pertemuan pemimpin tertinggi kedua-dua negara di Bangunan Perdana Putra, sebelum mempengerusikan mesyuarat dua hala bersama delegasi masing-masing.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pertemuan dengan rakan sejawat, Anutin Charnvirakul bertujuan memperteguhkan lagi persahabatan sekian lama terjalin serta komitmen berterusan menjaga kesejahteraan bersama.
Beliau berkata, perbincangan tertumpu kepada kerjasama dalam pelbagai bidang meliputi perdagangan dan pelaburan, pembangunan sempadan, keselamatan, pertanian dan keterjaminan makanan, pelancongan, industri halal serta industri semikonduktor.
“Kami memberi penekanan kepada usaha mempercepat pelaksanaan projek-projek kesalinghubungan serantau, termasuk ASEAN Power Grid serta memperkukuh kesalinghubungan di sempadan Rantau Panjang-Sungai Golok demi memudah cara pergerakan rakyat dan merancakkan aktiviti ekonomi rentas sempadan,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.
Menurut beliau, Malaysia dan Thailand bersetuju mempercepat pelaksanaan pelbagai inisiatif yang telah dipersetujui melalui mekanisme kerjasama sedia ada agar manfaatnya dapat segera dirasai oleh rakyat kedua-dua negara.
Kata beliau lagi, Anutin juga merakamkan penghargaan atas peranan aktif Malaysia dalam membantu menggalakkan dialog dan usaha damai di rantau ini, termasuk sokongan terhadap proses perdamaian antara Thailand dan Kemboja.
Beliau berkata, pertemuan itu turut membincangkan pelbagai isu serantau, termasuk perkembangan di Myanmar serta usaha mengekalkan keamanan di selatan Thailand, berlandaskan semangat ASEAN yang sentiasa mengutamakan dialog, persefahaman dan penyelesaian secara damai.
“Hubungan Malaysia dan Thailand akan terus diperkukuh berteraskan semangat saling menghormati, kepercayaan dan iltizam untuk meneroka lebih banyak peluang kerjasama yang membawa manfaat nyata kepada rakyat kedua-dua negara serta kemakmuran rantau ini,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI
