Berita

Malaysia-Uzbekistan setuju teroka kerjasama strategik baharu

Menerusi mesyuarat dua hala diadakan, Malaysia dan Uzbekistan secara dasarnya bersetuju untuk meneroka kerjasama strategik baharu bagi membawa manfaat besar kepada rakyat kedua-dua belah pihak.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, keputusan tersebut dicapai menerusi persidangan Forum Peradaban Islam Antarabangsa Kali Pertama yang diadakan di Tashkent, Uzbekistan.

Beliau berkata, kesempatan yang ada pada forum tersebut telah dimanfaatkan sepenuhnya bagi membincangkan kerjasama strategik baharu.

“Alhamdulillah, saya telah mengadakan mesyuarat dua hala bersama Penasihat Presiden Uzbekistan, TYT Muzaffar Murotovich Kamilov dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Uzbekistan, Toshboev Sodiq Donoqulovich.

“Antara agenda penting yang kami bincangkan demi manfaat kedua-dua buah negara adalah hal ehwal Islam dan pengurusan haji; pemerkasaan wakaf dan kewangan Islam serta potensi industri halal dan pelancongan mesra Muslim,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.

Jelas beliau, ia merupakan satu penghargaan buat Malaysia apabila TYT Penasihat Presiden menyatakan minat yang mendalam terhadap pengisian syarahan yang telah disampaikan pada Forum Peradaban Islam Antarabangsa Kali Pertama tersebut dan meminta teks ucapan itu dikongsikan bersama pihak Uzbekistan.

Kata beliau lagi, hubungan jaringan diplomatik berasaskan ilmu, iman dan nilai-nilai madani adalah kunci untuk anak muda hari ini melihat Islam kembali memimpin industri global.

“Semoga perancangan strategik ini membuka lebih banyak peluang keemasan buat landskap dakwah dan ekonomi umat Islam, insya-Allah. Fastabiqul khairat,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI