Berita

Terima kasih industri perbankan sahut saranan kerajaan bantu rakyat -PM

Kerajaan MADANI menghargai keputusan pemain industri perbankan menyahut saranan untuk memperkukuh keterangkuman kewangan melalui beberapa langkah dicadangkan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kesediaan pihak perbankan untuk melaksanakan pengenalan Kad Kredit Asas dan pemansuhan caj RM1 bagi pengeluaran wang tunai di mesin pengeluaran automatik (ATM) bank bermula 1 Julai lalu merupakan satu kewajaran.

Beliau berkata, Kad Kredit Asas akan memberi pilihan kredit yang lebih ringkas, berpatutan dan bertanggungjawab kepada rakyat, manakala pemansuhan caj ATM melibatkan lebih 14,000 ATM di seluruh negara.

“Kad Kredit Asas ini memberi keutamaan kepada kos pembiayaan yang lebih rendah ketimbang ganjaran gaya hidup, dengan kadar pembiayaan dihadkan pada 14 peratus setahun ketimbang had tertinggi 18 peratus setahun pada masa ini. 

“Had kredit juga ditetapkan pada paras lebih terkawal bagi menggalakkan penggunaan kredit secara berhemat,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.

Menurut beliau, bagi peminjam dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang terkesan akibat krisis bekalan global dan konflik di Asia Barat, bank-bank turut menyediakan bantuan bersasar termasuk penjadualan dan penstrukturan semula pinjaman, pengurangan ansuran serta pelanjutan tempoh pinjaman.

Setakat ini, kata beliau, lebih RM4.7 bilion pembiayaan telah diproses melalui penjadualan dan penstrukturan semula pinjaman, manakala kira-kira RM1 bilion telah diluluskan kepada sekitar 1,500 peminjam perusahaan kecil dan sederhana (PKS) melalui Kemudahan Bantuan Kestabilan PKS.

“Kerajaan MADANI akan terus bekerjasama dengan Bank Negara Malaysia (BNM) dan industri perbankan bagi memastikan sistem kewangan negara kekal stabil, terangkum dan berpihak kepada rakyat,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI