Keprihatinan kerajaan terhadap keperluan masyarakat tidak pernah dilupakan dan pelaksanaan Program Kampung Angkat MADANI dilihat membawa pelbagai perubahan besar serta manfaat secara langsung kepada komuniti luar bandar.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) berkata, menerusi program tersebut, kerjasama dengan jabatan dan agensi di bawah pihak kementerian telah dilakukan bagi melaksanakan pelbagai projek infrastruktur kepada kumpulan masyarakat memerlukan.
Katanya, inisiatif tersebut memberi fokus kepada penyediaan kemudahan asas yang lebih selamat, selesa dan berkualiti demi meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pembangunan infrastruktur komuniti bukan sekadar membina kemudahan fizikal, tetapi menjadi asas kepada kesejahteraan rakyat serta memperkukuh pembangunan luar bandar yang inklusif dan mampan.
Sementara itu, KDN berkata, antara pencapaian utama yang telah dilaksanakan di bawah kementerian itu adalah sembilan kategori projek infrastruktur dilaksanakan di Kampung Angkat MADANI dan 11 kampung di bawah program itu menerima manfaat secara langsung.
“Ia melibatkan sembilan negeri di seluruh Malaysia yang menerima manfaat daripada projek infrastruktur seperti baik pulih masjid, surau, gereja, balai raya dan pondok keselamatan,” kata KDN menerusi laman media sosial kementerian itu.
Selain itu menurutnya, antara kemudahan lain yang dilakukan adalah penyediaan kemudahan pengurusan jenazah, naik taraf sistem perparitan dan saliran serta pembinaan tembok penahan hakisan.
Tambahnya lagi, manfaat lain yang diterima masyarakat luar bandar adalah pemasangan lampu solar di kawasan komuniti, baik pulih rumah asnaf, sekolah, tadika dan pusat tahfiz.
Selain itu, KDN bersama agensi di bawah pihak kementerian turut melaksanakan kerja-kerja naik taraf jeti, jambatan serta kemudahan sukan untuk kegunaan masyarakat luar bandar.
“Usaha ini mencerminkan komitmen berterusan KDN dalam memastikan setiap komuniti menikmati kemudahan awam yang lebih baik, selamat dan kondusif selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI
