Malaysia mengecam keras tindakan tentera laut rejim Zionis Israel (IOF) memintas kapal Global Sumud Flotilla (GSF) dan menahan lebih 100 orang aktivis termasuk 16 aktivis dari Malaysia yang terlibat dalam misi aman membela kemanusiaan sejagat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tindakan kurang ajar rejim jahat itu terhadap terhadap misi bantuan kemanusiaan bukan sahaja mencabuli hak asasi manusia dan undang-undang antarabangsa, malah memperlihatkan kerakusan rejim Zionis dalam menutup ruang bantuan.
Tegas beliau lagi, tindakan biadab Zionis Israel itu juga menyekat suara kemanusiaan dan menindas sesiapa sahaja yang bangkit mempertahan dan membela rakyat Palestin.
“Malaysia lantas mengecam sekeras-kerasnya tindakan tersebut dan menuntut jaminan keselamatan serta pembebasan segera kesemua aktivis yang ditahan,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.
Tegas beliau, dunia seharusnhya tidak boleh terus tunduk kepada kezaliman dan kebobrokan yang dilakukan oleh Zionis Israel.
Menurut beliau, penindasan ke atas warga Palestin dan kepada mereka yang menggerak serta membawa bantuan kemanusiaan mesti dihentikan segera.
Malah Perdana Menteri menuntut agar Israel mesti berdepan keadilan dan bertanggungjawab di atas segala tindakan zalim yang telah dilakukan.
“Doakan agar segala usaha ini dipermudahkan, Insya-Allah. Hasbunallah wa ni‘mal wakil,” ujar beliau mendoakan kesejahteraan buat semua aktivis yang ditahan. -MalaysiaMADANI
