Berita

Pengangguran turun ke paras terendah dalam tempoh 11 tahun

Kerajaan MADANI terbukti bukan sahaja berjaya membawa kemajuan secara berterusan, malah membawa kesejahteraan rakyat terutama dalam meningkatkan pendapatan dan membuka peluang pekerjaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kadar pengangguran negara menurun ke paras terendah dalam tempoh 11 tahun setakat akhir tahun lalu. 

Beliau berkata, pasaran buruh di pelbagai sektor pula kekal stabil, didukung kedudukan ekonomi yang semakin menggalakkan.

“Kadar pengangguran Malaysia turun ke 2.9 peratus, terendah dalam 11 tahun.

“Ini hasil usaha keras Kerajaan MADANI membina dan mengukuhkan semula asas negara sejak tiga tahun lalu,” kata beliau menerusi laman media sosialnya. 

Menurut beliau, pasaran kerja semakin stabil dan lebih ramai rakyat kembali bekerja, dalam masa sama ramai golongan wanita terus menyertai pasaran kerja yang terdapat di negara ini.

Selain itu beliau berkata, penyertaan tenaga buruh kekal kukuh pada kadar 70.9 peratus.  

Tegas beliau, kerajaan MADANI akan terus bekerja keras bagi memastikan pertumbuhan baik tersebut benar-benar diterjemah kepada peluang pekerjaan kepada orang ramai.

“Semoga ia dapat menambah pendapatan bermaruah dan masa depan yang lebih terjamin untuk rakyat, Insya-Allah,” jelas beliau. -MalaysiaMADANI