Berita

“Program pemulihan bukan saja ubah hidup banduan tapi bawa kembali kepada masyarakat’ -KDN

Penjara bukan sekadar tempat menjalani hukuman, tetapi juga pusat pemulihan yang berkesan, kata Menteri Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail .

Beliau menegaskan program-program pemulihan bukan sahaja mengubah hidup banduan tetapi membawa mereka kembali ke pangkuan masyarakat sebagai insan yang lebih baik.

“Kita telah melihat bagaimana program seperti hafazan al-Quran di Sekolah Henry Gurney berjaya membentuk personaliti banduan muda.

“Ada dalam kalangan mereka yang telah menghafal 30 juzuk al-Quran dan menjadi imam solat tarawih.

“Ini adalah bukti bahawa penjara bukan sekadar tempat menjalani hukuman, tetapi juga pusat pemulihan yang berkesan,” katanya.

Terdahulu beliau hadir ke Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni bersama warga Jabatan Penjara di Masjid Sultan Muzaffar Shah, Sungai Petani, semalam.

Selari dengan perkembangan tersebut, Saifuddin berkata, pihaknya berhasrat menjadikan institusi pondok sebagai rakan strategik bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam usaha tangani isu-isu ekstrem.

Kerjasama berkenaan, tegas beliau diyakini mampu menyemai pemahaman Islam yang lebih inklusif serta tangani cabaran sosial hari ini.

“Saya juga tekankan pentingnya institusi pondok sebagai benteng akidah umat Islam dan rakan strategik KDN serta PDRM dalam menangani isu ekstremisme dan kukuhkan kefahaman masyarakat menangani hubungan sesama Muslim dan non-muslim,” katanya. – MalaysiaMADANI