Warga Majlis Amanah Rakyat (MARA) diingatkan tidak terperangkap dengan zon selesa sebaliknya perlu bertindak menjadi pemikir strategik dan pemangkin perubahan yang memastikan kemajuan Bumiputera kekal relevan dan berdaya saing, kata Timbalan Perdana Menteri.
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata demikian ketika menghadiri Majlis Wacana Qiadah MARA di Premiera Hotel bersama kakitanganya.
“Dalam kesempatan ini saya telah berkongsi amanat dan menegaskan betapa pentingnya untuk kita semua kembali menghayati asas penubuhan MARA.
“MARA bukan sekadar organisasi tetapi satu perjuangan. Kita tidak boleh terperangkap dalam zon selesa dan hanya menjalankan rutin pentadbiran.
“Sebaliknya warga MARA perlu menjadi pemikir strategik, perancang masa depan dan pemangkin perubahan yang memastikan kemajuan Bumiputera kekal relevan dan berdaya saing,” katanya.
Tegas beliau lagi, MARA perlu perhebatkan fungsi dan peranannya supaya terus kekal berada di puncak.
“MARA telah berjaya ke tahap ini dan kini menjadi tanggungjawab warganya untuk terus membawanya untuk terus terbang lebih tinggi.
Semoga usaha ini terus diberkati dan meninggalkan warisan yang bermakna buat generasi akan datang. Insya-Allah,” katanya. – MalaysiaMADANI