Berita

Pertumbuhan kukuh KDNK bukti keberkesanan dasar ekonomi Madani – PM

Ekonomi Malaysia mencatat prestasi hebat dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada kadar 5.1 peratus pada 2024 mengatasi unjuran asal antara 4 hingga 5 peratus serta melonjak jauh lebih tinggi berbanding 3.6 peratus pada 2023, kata Perdana Menteri.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pencapaian ini menjadi bukti keberkesanan dasar Ekonomi Madani, terutama dalam memberi keyakinan kepada pelabur serta memperkukuh pertumbuhan ekonomi negara.

“Pertumbuhan kukuh ini didorong oleh peningkatan pelaburan yang melonjak 12 peratus iaitu paling tinggi  dalam tempoh 12 tahun, serta eksport yang terus berkembang, khususnya dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E).

“Pemulihan pelancongan dan pelaksanaan pantas projek infrastruktur utama turut menyokong pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.

Lebih membanggakan Anwar yang juga Menteri Kewangan menjelaskan, Kerajaan Madani juga berjaya mengurangkan defisit fiskal (perbelanjaan melebihi pendapatan) kepada 4.1 peratus, lebih baik daripada sasaran 4.3 peratus.

Justeru kerajaan Madani memberi jaminan untuk terus bekerja lebih kuat dan meningkatkan lagi prestasi pada tahun ini.

“Insya-Allah, Kerajaan akan terus bekerja untuk mengekalkan momentum positif ini dan meningkatkan lagi prestasi pada tahun ini demi kemakmuran rakyat,” katanya. – MalaysiaMADANI