Berita

PM cabar mahasiswa tolak rasuah, berani perbetul kepincangan 

Meskipun sibuk dengan tugasan termasuk memuktamadkan Belanjawan Negara, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih sempat meluangkan masa bersama mahasiswa di Majlis Anugerah Tokoh Siswa Negara 2026.

Perdana Menteri berkata, pengiktirafan tersebut membawa amanah besar yang perlu dipikul, selain universiti juga tidak boleh menjadi menara gading yang terpisah daripada denyut kehidupan rakyat. 

Beliau menegaskan, mahasiswa mesti memahami permasalahan masyarakat serta berani tampil membetulkan kepincangan dan membela nasib golongan yang terpinggir.

“Ilmu dan kelayakan tinggi sahaja tidak menjamin keluhuran peribadi. Skandal besar negara yang terbongkar kebelakangan ini memperlihatkan bagaimana golongan terdidik turut terjerumus dalam rasuah dan salah guna kuasa. 

“Justeru, kesempatan di universiti mesti dimanfaatkan untuk mengasah fikiran dan memperteguh iman, akhlak serta hati nurani agar prinsip tidak mudah digadai oleh godaan kuasa dan harta,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.

Perdana Menteri turut mencabar Generasi Z untuk mencetuskan kebangkitan semangat baharu dengan kesedaran tinggi untuk berkhidmat, membela nasib rakyat dan menolak kebobrokan. 

“Beranilah menggapai yang di langit, namun tetap mengakar ke bumi dengan iman, akhlak dan jati diri yang teguh. 

“Jadikan ilmu sebagai kekuatan untuk membawa perubahan demi bangsa dan negara,” ujar beliau.

Beliau turut menuntut mahasiswa untuk memanfaat ilmu dan peluang yang tersedia untuk merapatkan kesenjangan antara kaum, wilayah serta golongan kaya dan miskin agar kemajuan negara dapat dinikmati secara adil oleh seluruh rakyat.

“Tahniah kepada semua penerima anugerah malam ini, khususnya buat saudara Mohamad Amar Aidid Mohd Zain daripada Universiti Utara Malaysia yang dinobatkan sebagai Tokoh Siswa Negara 2026. 

“Semoga pengiktirafan ini menyemarakkan semangat kalian untuk terus berkhidmat dengan ikhlas dan berpegang teguh pada kebenaran,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI