Berita

Dana Endowmen Penyelidikan CRM pacu inovasi klinikal, tingkat rawatan lebih berkesan

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berbesar hati meluncurkan inisiatif baharu iaitu Dana Endowmen Penyelidikan CRM bagi memacu inovasi klinikal demi rawatan pesakit yang lebih berkesan.

Dr Dzulkefly berkata, dana perintis yang diterajui oleh Clinical Research Malaysia (CRM) itu bertujuan menyokong kajian-kajian inisiatif penyelidik bebas, terutamanya bagi aktiviti penting yang sering kali tidak mendapat liputan geran konvensional.  

Beliau berkata, sejak mencapai status mampan kendiri pada 2018, CRM telah melabur lebih RM10 juta bagi memperkasa kapasiti penyelidikan klinikal di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). 

“Ini merangkumi pembangunan Phase 1 Realisation Project, infrastruktur tapak kajian, serta peningkatan kepakaran kawal selia dan keupayaan penyelidik tempatan,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.  

Menurut beliau, menerusi penyelarasan bersama Institut Penyelidikan Klinikal (ICR), dana endowmen tersebut akan menawarkan sokongan praktikal bermula dari peringkat idea awal sehinggalah kajian selesai dilaksanakan. 

Kata beliau, matlamat kerajaan adalah jelas iaitu mengubah idea bernas kepada keberhasilan kesihatan yang memberi manfaat langsung kepada pesakit dan kelestarian ekosistem inovasi negara.  

Dalam majlis sama, Dr Dzulkefly turut mengambil kesempatan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada dua Ahli Lembaga Pengarah CRM yang akan menamatkan perkhidmatan iaitu Datuk Dr. Nor Farizah Ngah dan Datuk Azah Hanim Ahmad. 

“Terima kasih atas khidmat bakti cemerlang yang dicurahkan selama ini dan selamat menikmati persaraan,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI