Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan berita gembira buat seluruh rakyat apabila RTM akan menyiarkan Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix di Malaysia 2026 secara langsung.
Berdoa agar kemeriahan perlumbaan berprestij itu dapat dinikmati bersama, Perdana Menteri juga berharap siaran langsung tersebut memberi peluang kepada rakyat di seluruh pelosok tanah air untuk merasai debaran perlumbaan bertaraf dunia dari Litar Antarabangsa Sepang.
Terdahulu, Perdana Menteri berkesempatan mengadakan tinjauan di Litar Antarabangsa Sepang bagi melihat persiapan penganjuran Formula 1 Gulf Air Grand Prix Bahrain di Malaysia 2026.
“Saya turut meluangkan masa menyantuni peminat F1 yang menyertai sesi pit lane walk, selain bertemu para sukarelawan dan petugas yang gigih memastikan segala persiapan berjalan dengan baik.
“Saya menghargai kerjasama erat Sepang International Circuit (SIC) dan Bahrain International Circuit (BIC) dalam menjayakan penganjuran ini,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.
Selain itu, Perdana Menteri turut mengucapkan penghargaan kepada seluruh pasukan penganjur, petugas dan sukarelawan atas komitmen memastikan setiap urusan terlaksana dengan teratur dan selamat.
“Semoga penganjuran ini berjalan lancar dan meninggalkan kenangan bermakna buat peminat serta pengunjung, sekali gus mengangkat nama Malaysia di persada sukan permotoran dunia,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI
