Berita

Kerjasama silang rentas kementerian galak lebih ramai pilih Tingkatan 6

Program Kolej Tingkatan 6 Premium oleh Kementerian Pendidikan akan dilaksanakan secara silang rentas kementerian bertujuaan menggalakkan lebih ramai lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) memilih aliran Tingkatan 6, kata Menterinya, Fadhlina Sidek.

Perkara itu dinyatakan beliau selepas mengadakan perbincangan bersama Universiti Sains Malaysia (USM) yang diketuai Naib Canselor, Prof Datuk Seri Ir Abdul Rahman Mohamed di Kampus Kejuruteraan USM.

“Insiatif ini bertujuan meningkatkan kualiti pendidikan Tingkatan 6 dan untuk memastikan kedudukan, pencapaian, peranan serta sumbangan pelajar STPM dalam bidang-bidang lain dapat kita berikan tumpuan.

“Semoga kerjasama ini kita dapat meningkatkan lagi kualiti pendidikan Tingkatan Enam,”katanya.

Sebelum ini, KPM mahu melihat lepasan STPM terus diberikan pengiktirafan dan mendapat tempat bukan sahaja di institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan, malah di luar negara.

“Kita mesti sentiasa berikan semangat kepada anak-anak lepasan STPM yang mana pengiktirafan ini sangat tinggi nilainya khususnya apabila mereka mendapat keputusan yang cemerlang,” katanya.

Dalam perbincangan berkenaan, Fadhlina berkata beberapa perkara lain turut dibincangkan termasuklah usaha untuk membudayakan Sains, Teknologi, kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam kalangan murid sekolah. – MalaysiaMADANI